Thursday, July 15, 2010

Sihir

“Sesungguhnya dalam jasad manusia itu terdapat seketul daging apabila baik ia, maka baiklah seluruh badan. Jika ia rosak maka rosaklah seluruh badan. Itulah hati.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hati itu sesuatu yang ada di dalam dada yang berbentuk zat (bukan material). Ia harus diisi dengan sesuatu. Bila Allah mengisinya, maka orang itu menjadi baik. Jika syaitan mengisinya, orang itu menjadi jahat. Oleh itu apabila kita berzikir bererti hati kita diisi dengan Allah, sentiasa bersama Allah dan tidak memberi tempat langsung kepada syaitan mempengaruhinya.

Alhamdulillah.. setelah sekian lama saya kembali menulis di blog ini. Dengan izin Allah, saya mendapat semula kemudahan untuk memaparkan topik baru pada hari ini. Komputer riba saya rosak, masih belum berjaya mengantikan dengan yang baru. Tetapi dengan izinNya saya diberi pinjam oleh suami pada hari ini. Peluang yang diberi ini akan saya manfaatkan bersama untuk tatapan pelanggan setia Nursari Beauty.

Sihir.. guna-guna.. atau istilah mandrem.. seringkali kita dengar. Inilah topiknya. Ada yang percaya dan ada juga yang tidak. Khurafat, syirik.. Untuk orang-orang beriman yang tidak bersekutu dengan syaitan itulah yang sering diungkapkan tetapi bagaimana pula bagi orang yang meletakkan diri mereka kafir kerana percaya kepada syaitan.

"Mereka (membelakangkan Kitab Allah) dan mengikut ajaran-ajaran sihir yang dibacakan oleh puak-puak Syaitan dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman, padahal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi puak-puak Syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya); kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat:Harut dan Marut, di negeri Babil(babylon), sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata:"Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu) oleh itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya)". Dalam pada itu ada juga orang-orang mempelajari dari mereka berdua: ilmu sihir yang boleh menceraikan antara seorang suami dengan isterinya, padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan sihir itu seseorang pun melainkan dengan izin Allah. Dan sebenarnya mereka mempelajari perkara yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka. Dan demi sesungguhnya mereka (kaum Yahudi itu) telahpun mengetahui bahawa sesiapa yang memilih ilmu sihir itu tidaklah lagi mendapat bahagian yang baik di akhirat. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka pilih untuk diri mereka, kalaulah mereka mengetahui."(Surah al-baqarah ayat 102).

Apa pun itu semua terjadi kerana izin Allah. Allah ingin menguji keimanan kita. Sedikit saya nak sentuh bermulanya orang yang menyihir ini adalah dari hati yang hasad. Apabila hasad dengki sudah bersarang dalam hati syaitan mula bersama-sama mereka untuk menganiya diri sendiri dan orang yang didengkinya. Hati tidak dijaga, tidak menerima ketentuan Allah, tidak redha dan tidak bersikap zuhud. Inilah yang terjadi.

Masyaallah, mereka tidak sedar perbuatan menyihir atau bersekutu dengan syaitan itu adalah berdosa. Antara 3 dosa yang tidak diampunkan Allah s.a.w. dan tidak masuk syurga selagi tidak bertaubat ialah 1. Orang yang minum arak. 2. Orang yang memutuskan silaturrahim dan yang ke-3. Orang yang menggunakan ilmu sihir.

Pelanggan Nursari Beauty yang dikasihi, jagalah solat fardhu kita sekiranya tidak mahu menyihir dan disihir. Carilah keredhaan Allah. Hidup ini hanyalah pinjaman, tidak perlulah berhasad dengki. Kaya itu dugaan, miskin juga dugaan. Kejayaan seseorang itu adalah anugerah. Sekiranya mahu anugerah carilah keredhaanNya. Insyaallah.

Cukuplah saya rasa pada hari ini. Semoga Allah melindungi kita semua. Apa yang baik dari Allah dan yang buruk dari saya. Sabar adalah kunci kejayaan. Wasalam.

DOA MOHON DITETAPKAN IMAN, DAN DIHINDARKAN DARI BALA DUNIA DAN AZAB AKHIRAT

Ya Allah, hidupkanlah kami dengan iman, dan matikanlah kami dengan iman, halaulah kami dipadang mahsyar dengan iman, masukkanlah kami ke syurga dengan iman.
Ya Allah, tetapkanlah kami beserta iman, dan keluarkanlah kami dari dunia bersama iman, tundukkan penggoda kepada kami daripada jin kerana iman. Ya Allah, hindarkanlah kami dari bala dunia dan azab akhirat. Semoga Tuhan mengampuni dosa kami dan dosa mereka, dengan rahmatMu ya Allah Tuhan kami yang maha pengasih.